Wednesday, February 24, 2010

French Fries


Kentang goreng adalah antara yang bukan lagi asing. Daripada menjadi hidangan popular di restoran makanan segera atau dihidangkan bersama sajian Barat seperti stik atau digoreng sendiri di rumah, kentang goreng begitu mudah diperoleh di mana-mana sahaja.

Walaupun, kentang sebenarnya merupakan sumber karbohidrat yang baik, tetapi penyediaan kentang yang digoreng kemudian ditaburkan pula dengan perasa seperti garam menyebabkan menu ini lebih banyak mendatangkan
keburukan.

Menurut pakar pemakanan Institut Jantung Negara, Mary Easaw, minyak digunakan berkali-kali akan menyebabkan kandungan kalori pada makanan yang digoreng semakin tinggi dan membahayakan kesihatan.

Fakta nutrisi menyatakan bagi satu hidangan besar kentang goreng sekitar 169 gram, ia mempunyai 539 kalori, 63.4 gram karbohidrat dan 28.8 gram lemak iaitu 6.7 gram lemak tepu, 7.4 gram lemak trans serta lain-lain.

Tahukah anda berapa lama masa yang anda perlu untuk membakar 539 kalori? Ia bersamaan dengan 40 hingga 60 minit berlari di atas treadmill. Persoalannya, kalau anda fikir kembali, berapa kerapkah anda bersenam dan keduanya, sekiranya anda berada di atas treadmill, berapa lama biasanya anda melakukan larian?

Namun begitu, selain kebimbangan mengenai kandungan kalori yang tinggi, satu lagi kerisauan pakar pemakanan ialah keburukan lemak tepu dan lemak trans. Kajian mendapati kedua-dua lemak ini meningkatkan kolesterol jahat (LDL) sekali gus mendorong kepada risiko penyakit jantung koronori (CAD).

Perunding Kardiologi dan Elektrofisiologi, Datuk Dr. Azhari Rosman, menyatakan plak kolesterol sudah terjadi sejak seseorang berusia lapan tahun lagi. Plak kolesterol yang semakin tebal akan menyebabkan darah tersumbat dan menyebabkan CAD.

No comments:

Post a Comment